Video ini amat menyentuh hati. Ia tentang seorang pesakit ebola yang dirakamkan berkata sesuatu dari wad rawatannya di Hospital Texas Health Presbyterian, Dallas, Amerika Syarikat.
Rakaman pendek ini dimuatnaik ke laman perkongsian video YouTube pada hari ini dari bilik pesakit berkenaan, Nina Pham. Nina merupakan seorang jururawat yang sebelum ini secara sukarela menyertai pasukan perubatan untuk merawat pesakit ebola pertama di Amerika iaitu Thomas Eric Duncan yang meninggal dunia pada 10 Oktober lepas.
Dalam rakaman itu, Nina dilihat berada di atas katil sementara di sebelahnya berdiri seorang wanita yang lengkap memakai baju perlindungan untuk mengelak daripada terkena jangkitan penyakit berbahaya yang dihidapinya.
Lelaki yang merakam video ini adalah doktor yang merawat Nina, Dr Gary Weinstein.
“Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada pasukan sukarela untuk membantu merawat pesakit pertama kita,” katanya kepada Nina sebelum doktor itu dilihat seperti mahu menangis.
“Jangan menangis, saya sayang kamu semua,” kata Nina. Rakaman dibuat sebelum Nina dipindahkan dari Texas ke National Institutes Of Health di Bethesda, Maryland.
“Marilah ke Maryland, kita berparti di sana,” kata Nina sebelum dia juga menangis. Video yang dikongsikan di YouTube oleh sebuah organisasi yang menguruskan hospital berkenaan, Texas Health Resources ini dikongsikan atas permintaan Nina sendiri. - MYNEWSHUB