Isu program I Want to Touch A Dog menjadi viral di laman sosial. Disebabkan penganjurannya oleh seorang Muslim, terwujud dua kelompok dengan pandangan masing-masing. Ada yang kata begini, ada yang kata begitu. Masing-masing mula keluarkan 'ayat-ayat' bagi membenarkan hujah.
Seperti kes-kes sensasi lain yang dipopularkan menerusi media sosial, pasti ada kekeliruan dan lompang yang berlaku. Saya dah agak tentu ada sesuatu yang terkurang sehingga ia membawa kepada isu, yang pada saya bukan kecil, kerana ia ada soal hukum halal dan haram, dan bukan benda yang boleh dibuat main-main. Jika tersilap faham, merana diri dan akibatnya nanti adalah sesuatu yang tentu kita tidak mahu ia berlaku pada awalnya.
Kisah kontroversi ini juga telah dikongsikan ramai blogger Malaysia. Walaupun perkongsiannya nampak tidak menyebelahi, hanya sekadar melaporkan tetapi ada komen-komen yang ditinggalkan agak berat nak membacanya secara kuat dan didengari. Dan paling trajis sekali apabila ramai yang hentam seorang ustaz yang terbabit secara langsung di dalam program I Want to Touch a Dog ini.
Ramai yang kritik ustaz yang terlibat dengan program I Want to Touch a Dog yang diadakan pada 19 Oktober 2014 di Central Park, One Utama di Petaling Jaya. Ustaz yang dimaksudkan ialah Ustaz Mohd Iqbal Parjin atau lebih dikenali sebagai Abu Zulfaqar; walhal yang kritik ini tidak pun bertanyakan pada diri yang terlibat, terus membuat tohmahan pelbagai tanpa usul periksa.Penjelasan Ustaz Terbabit Program I Want to Touch a Dog
Tak berapa nak jelas? Ok, saya kongsikan di bawah ini kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustaz Abu Zulfaqar menerusi akaun Facebooknya.
Assalamualaikum,
Alhamdulillah dan segala syukur untuk Allah SWT.
Cuaca sosial media pada ketika ini agak panas berhubung program "I Want To Touch a Dog", yang saya terlibat secara langsung di dalamnya untuk memberi perkongsian ilmu, setelah mendapat tahu program ini telah mendapat izin dari pihak MAIS.
Pada awalnya, penganjur program, Syed Azmi,menjemput saya untuk mengisi slot ilmu. Saya merasakan ini adalah peluang yang baik untuk menyampaikan mesej Islam kepada Muslim dan non-Muslim, dan alhamdulillah sehingga kini mereka masih menghubungi saya untuk bertanyakan perihal Islam dengan lebih lanjut.
Saya difahamkan bahawa tempat perkongsian ilmu diasingkan dari tempat anjing-anjing berkumpul.
Saya akui yang saya terlepas pandang bahawa program ini disalah tafsir malah diambil kesempatan oleh setengah pihak untuk menggalakkan masyarakat Melayu awam bermesra-mesra dengan anjing tanpa sebab. Saya tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku seolah-olah saya yang menggalakkannya.
Saya memenuhi jemputan ini, dan menjelaskan kepada yang hadir mengenai hukum - hakam yang jelas menurut mazhab Syafi'e, seperti yang terdapat dalam fatwa JAKIM.
Dibawah ini saya sertakan lampiran yang difotokopi sebanyak 500 helai dan diedarkan kepada mereka yang hadir.
Saya ingin JELASKAN disini bahawa saya TIDAK BERSETUJU dengan aksi peluk,cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut oleh peserta-peserta program.
Saya juga jelas menerangkan,tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu.
Saya terkilan kerana pihak media hanya menyebarkan sebahagian ucapan saya yang seolah-olah saya menyokong perbuatan tersebut, manakala bahagian hukum hakam tidak disebutkan oleh pihak media.
Saya memohon maaf secara terbuka di atas segala kecelaruan dan kepincangan yang berlaku. Iktibar dan pelajaran yang berharga saya perolehi dari apa yang telah berlaku. Saya mengharapkan program ini pada masa hadapan dapat dilakukan dalam suasana yang lebih menghormati sensitiviti masyarakat setempat.
Terima kasih di atas segala kritikan dan teguran yang membina.Saya yakin segalanya ada hikmah dari Allah. Semoga dengan pengalaman ini mematangkan lagi diri saya dalam liku-liku perjuangan dakwah.
Mohd Iqbal Parjin
Terasa ingin bertanya pada mereka yang hadir ke program ini, adakah mereka pasti akan hukum hakam mengenai najis berat, dan hukum hakam mengenai pegang sentuh anjing ini. Adakah mereka tanya dulu mereka yang lebih arif sebelum terlibat dalam program ini.
Saya agak ralit melihatkan ramai anak-anak muda termasuklah kanak-kanak yang hadir ke program I Want to Touch a Dog ini. Melihatkan gambar-gambar mereka yang nampak riang gembira tanpa rasa bersalah menyentuh dan memeluk anjing tanpa sebab yang PERLU dibuat begitu.
Islam tidak perlu satu kempen sebegini, kerana segalanya dah jelas dalam Al Quran dan Hadis.
Nak penjelasan lebih, tanyalah pada yang benar arif dan tahu. Dan tak perlu pun ada demostrasi serta kehadiran anjing untuk tujuan nak tunjuk bagaimana nak lakukan sertu.
Pihak Jakim telah memberikan respon berhubung isu ini, dan siasatan dikatakan akan dijalankan; apatah lagi apabila pihak penganjur mengatakan ia telah mendapat izin daripada pihak MAIS (Majlis Agama Islam Selangor).
Harapnya ada penyelesaian segera, dan pihak penganjur perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku - terutama kepada umat Islam yang menjayakan program I Want to Touch a Dog ini.
http://www.hasrulhassan.com/
ADS HERE !!!