KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mengambil kira beberapa kriteria penting dalam menentukan calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang layak memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada tahun depan.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan, kriteria itu antaranya memperoleh Gred A sekurang-kurangnya enam mata pelajaran termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik.
Enam mata pelajaran itu bagaimanapun tidak termasuk mata pelajaran Bahasa Tambahan seperti Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Punjabi.
“Ujian Bertulis dan Ujian Lisan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Inggeris pula akan dikira sebagai dua pentaksiran berbeza bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, calon PT3 yang layak memasuki SBP pada tahun depan perlu juga memperoleh sekurang-kurangnya Gred B bagi mata pelajaran yang lain.
Calon aliran Sains Tulen Agama dan Aliran Agama Ikhtisas pula wajib memperoleh Gred A bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan sekurang-kurangnya Gred B bagi mata pelajaran Bahasa Arab.
Tambah kenyataan itu, Kementerian Pendidikan akan turut mengambil kira pencapaian menerusi Pentaksiran Sekolah serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Manakala, Pentaksiran Psikometrik dalam PT3 akan digunakan sebagai panduan kesesuaian aliran mata pelajaran serta kemampuan dan minat mereka.
“KPM juga mengekalkan aspek merit pemilihan untuk kemasukan ke SBP pada tahun 2015 iaitu dari aspek akademik, sukan, kokurikulum, status sosio ekonomi keluarga dan lokasi sekolah asal murid.
“Semua calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi tahun 2014 akan menerima Pelaporan PT3 pada 22 Disember ini di sekolah masing-masing,” kata kenyataan itu.
Kementerian Pendidikan memaklumkan permohonan bagi kemasukan di Tingkatan 4 ke SBP bagi tahun 2015 adalah secara ‘online’ melalui laman web KPM www.moe.gov.my bermula 1 hingga 30 Disember ini.
Justeru, calon-calon PT3 yang mahu memohon masuk ke SBP diminta mengisi secara `online’ pencapaian PAJSK, PS dan Psikometrik mereka pada 1 Disember 2014.
Tambah kenyataan itu lagi, semakan keputusan pemilihan dan penempatan boleh dibuat selewat-lewatnya 30 Januari 2015 menerusi laman web www. moe.gov.my.
“Calon-calon yang berjaya akan dimaklumkan juga melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Calon-calon yang tidak berjaya boleh mengemukakan permohonan secara e-rayuan di laman web KPM
“Setelah mengambil kira Cuti Tahun Baru Cina tahun 2015, maka bagi calon-calon yang berjaya dalam permohonan mereka, pendaftaran di SBP akan bermula pada 23 Februari 2015,” kata kenyataan itu. – mynewshub.cc
ADS HERE !!!