Isteri Wan Amran Wan Hussin, juruterbang MH17, Mariam Yusof (tengah) bersama anaknya Wan Yusof Irfan Wan Amran, 9, (kiri) dan Wan Yunus Uzair, 11, (kana ) mendidik anaknya di rumahnya Alam Impian, Shah Alam. - Foto Muhammad sulaiman
"Setiap kali van bawa kru MAS masuk ke sekitar kediaman kami untuk mengambil juruterbang di Alam Impian, air mata saya pasti menitis kerana terbayangkan arwah dalam seragamnya bersiap sedia untuk bertugas".
Itu luahan Mariam Yusof, 46, isteri Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, 50, juruterbang pesawat malang Penerbangan Malaysia (MAS), MH17, yang ditembak jatuh di Ukraine, 17 Julai lalu.Sudah 100 hari berlalu
Meskipun sudah 100 hari tragediberlalu dan hampir semua jenazah rakyat Malaysia yang terkorban sudah disemadikan di tanah air, Mariam tidak dapat melupakan kenangan manis yang dikongsi bersama arwah suami dan masih berduka dengan kehilangan insan yang amat disayangi.
"Kadang-kadang ketika ambil anak pulang dari sekolah, saya akan menangis kerana teringatkan arwah yang sering melakukan tugasan itu apabila tidak bekerja," katanya yang akhirnya membuka ruang untuk ditemu bual media selepas lama mendiamkan diri.
Ketika ditemui BH di kediamannya di sini, wanita tabah ini berkata, beliau dan dua nak, Wan Yunus Uzair, 11, dan Wan Yusuf Irfan, 9, menepis segala kesedihan akibat kehilangan insan yang dipanggil 'abah' itu dengan hanya menganggap Allahyarham sedang bekerja di satu tempat yang amat jauh.
Mariam mengakui menerima tamparan paling hebat dalam hidup apabila suami yang juga tulang belakang keluarga itu pergi secara tiba-tiba dalam sekelip mata. Kejadian itu menyebabkan kehidupannya berubah sama sekali, kini begitu asing berbanding kehidupan ketika Allahyarham masih ada.
"Saya terpaksa membesarkan dua anak secara bersendirian dan ambil alih urusan keluarga. Saya juga nekad tidak bekerja kerana hanya ingin menumpukan perhatian menguruskan keluarga dan menjaga kedua-dua anak agar mereka boleh membesar dengan baik.
kepada SOCSO
"Kami kini hanya bergantung kepada pampasan yang diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) bagi menyara kehidupan selepas tragedi itu. MAS juga ada membayar wang pampasan melalui polisi kakitangan mereka. "Mujurlah rakan sekerja arwah bersetuju membuat potongan gaji untuk disumbangkan kepada kami, bagi membiayai belanja kehidupan seharian dan persekolahan anak," katanya dengan wajah tenang, seakan sudah dapat menerima realiti memedihkan itu.- bharian