Salah seorang mangsa nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine Julai lalu ditemui masih memakai topeng oksigen, menurut Menteri Luar Belanda, meningkatkan kemungkinan beberapa penumpang tahu nasib pesawat berkenaan.
"Anda tahu ada seorang masih memakai topeng oksigen dan mempunyai masa untuk memakainya," kata Frans Timmermans dalam satu rancangan bual bicara di sebuah stesen televisyen.
Pendakwa Raya Belanda mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat mengenainya selepas seorang mangsa ditemui dengan topeng tersebut di lehernya.
"Bagaimana dan bila topeng itu di pakai tidak diketahui.
"Institut Forensik Belanda sudah memeriksa topeng tersebut untuk mengenal pasti cap jari, air liur dan DNA tetapi siasatan itu tidak mendedahkan sebarang maklumat," katanya dalam sepucuk surat kepada keluarga mangsa.
Tiada mangsa lain dalam kejadian nahas yang mengorbankan 298 orang nyawa termasuk 193 orang adalah warga Belanda didapati memakai topeng oksigen, tambah beliau.
Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airline System Berhad ditembak pada 17 Julai lalu ketika sedang melalui ruang udara wilayah yang sedang bergolak di timur Ukraine.
Hasil laporan awal oleh kumpulan yang diketuai oleh Belanda mendakwa pesawat malang itu telah ditembak oleh peluru berpandu anti pesawat.
Kiev dan negara-negara barat menuduh pemberontak yang di sokong oleh Moscow menembak jatuh pesawat berkenaan tetapi dinafikan oleh Moscow dan menunding jari kepada Kiev.
Pakar-pakar foresik telah menangguhkan pencarian anggota badan mangsa ekoran pergolakan antara Kiev dan proRusia di kawasan nahas di Donestsk. - MalaysiaGazette