Gambar isteri baharu lelaki yang juga suami kepada seorang penumpang pesawat MH370 yang status hidup dan matinya masih tidak diketahui sehingga kini. (Foto Mstar Online)
Ekoran status penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sehingga kini belum diketahui masih hidup ataupun mati, suami seorang daripada penumpang terpaksa bernikah di negara jiran sebelum mendaftarkan perkahwinan baharunya di Malaysia.
Pasangan berkenaan juga dikhuatiri berdepan tindakan undang-undang atas kesalahan mengamalkan poligami tanpa kebenaran isteri pertama, sedangkan status isteri tersebut tidak diketahui sama ada masih hidup atau sebaliknya.
Memetik laporan
Mstar Online, satu sumber berkata suami berkenaan sebelumnya sudah pun memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah, awal bulan ini.
Lelaki itu yang juga bapa kepada empat anak itu bagaimanapun menghadapi kesukaran kerana tidak dapat mengemukakan surat kebenaran daripada isteri pertamanya untuk bernikah kali kedua.
“Sijil kematian isterinya tidak boleh dikeluarkan, jadi sukar untuk bernikah dalam negara. Oleh itu pasangan itu ke Songkhla, Thailand dan kini memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami,” dakwa sumber tersebut.
Lelaki itu dikatakan mengahwini wanita berasal dari Muar, Johor dan bertugas di Kuala Lumpur.
Majlis pasangan berkenaan diadakan secara kecil-kecilkan di sebuah homestay di Langat pada bulan lepas.
Insiden kehilangan pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur sebelum hilang dari pengesanan radar, berlaku pada awal pagi 8 Mac lepas.
Hasil siasatan antarabangsa menunjukkan kedudukan terakhir pesawat adalah di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia namun tiada sebarang bukti nyata menyokong teori sampai ke hari ini.
Susulan itu Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid meminta mufti dan pihak berkuasa agama mengeluarkan fatwa bagi menjelaskan kekeliruan dialami waris penumpang dan kru pesawat tersebut, baru-baru ini.
Menurut beliau, fatwa itu amat diperlukan untuk mencari jalan penyelesaian agar tidak timbul kekeliruan dari segi harta, wasiat, insurans dan sebagainya berkaitan anggota keluarga dan waris mangsa. - mstar
ADS HERE !!!