|
Penarikan biasiswa terhadap Fahmi Zainol (tengah) dianggap ugutan dan sekatan terhadap kebebasan akademik bagi mahasiswa seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 November, 2014. |
Tindakan Putrajaya menarik balik tajaan pendidikan mahasiswa kontroversi Fahmi Zainol hanya akan menyebabkan golongan mahasiswa menolak Putrajaya dan menjejaskan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), kata ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).
Ahli Parlimen Bayan Baru (PKR) Sim Tze Tzin (gambar) berkata, ugutan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menarik balik biasiswa Fahmi membuktikan Malaysia sememangnya tiada kebebasan akademik. Beliau berkata, kerajaan BN seharusnya menilai dan melihat kualiti kepimpinan Fahmi yang menjadi sumber insipirasi kepada rakan seangkatannya dan bukan melayan mahasiswa seperti musuh negara.
"Dengan membuat ugutan dan cubaan menekan Fahmi hanya akan merisikokan sokongan golongan muda kepada Putrajaya."Dan kita tahu golongan muda ini juga adalah pengundi dan tindakan menarik balik biasiswa Fahmi sudah tentu akan mewujudkan jurang lebih ketara kepada mahasiswa" katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, hakikatnya, BN sememangnya sukar menarik sokongan golongan muda dan dapat dilihat apabila parti tersebut gagal mengekalkan majoriti tradisi di Parlimen dalam dua pilihan raya umum lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan 70% atau kira-kira 4.2 juta pengundi tidak berdaftar adalah mereka berumur 21 hingga 40 tahun.
Kepentingan menarik sokongan golongan itu juga dapat dilihat dari segi usaha Putrajaya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan pelbagai program yang bertujuan mendekatkan golongan muda dengan kerajaan.
Menurut SPR, kira-kira 450,000 rakyat Malaysia bakal mencecah 21 tahun yang layak untuk mengundi.
Sementara, Ahli Parlimen Bukit Bendera (DAP) Zairil Khir Johari mempersoalkan tindakan Putrajaya yang dilihat tergugat dan terancam dengan kelantangan suara mahasiswa.
"Kerajaan perlu malu kerana cuba mengugut pelajar, Ini membuktikan tiadanya kebebasan akademik," katanya.
Beliau berkata, memandangkan situasi yang berlaku kepada Fahmi maka wujud keperluan segera untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Ahli Parlimen Bukit Katil (PKR) Shamsul Iskandar Mohd Akin menyarankan Fahmi membawa isu penarikan biasiswa ke mahkamah.
Shamsul menyifatkan tindakan JPA menarik balik biasiswa Fahmi sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Shamsul memberi jaminan PKR akan berdiri teguh menyokong pemimpin pelajar itu.
"Saya 'salute' kepada Fahmi dan saya bersama bekas aktivis mahasiswa teguh di belakang mereka serta menyokong segala aktiviti termasuk menghantar nota bantahan kepada Universiti Malaya atas tindakan tidak berperikemanusiaan ini," katanya.
Beliau yang mengutuk tindakan Putrajaya itu menyatakan penarikan biasiswa tidak patut dilakukan kerana Fahmi belum lagi dibuktikan bersalah.
Bagaimanapun katanya di sebalik tindakan Putrajaya yang cuba memberi tekanan dan menakutkan mahasiswa tersebut, ia sebenarnya menyemarakkan semangat golongan itu menentang kezaliman dan kongkongan BN serta menuntut kebebasan akademik.
"Saya yakin tujuan menarik biasiswa adalah bagi menakut-nakutkan mahasiswa tetapi ia tidak akan berjaya.
"Sebaliknya tindakan menyekat suara mahasiswa hanya memberi satu motivasi kepada mereka yang yakin dengan perjuangan untuk melepaskan universiti daripada cengkaman kerajaan BN dan pihak universiti ," katanya.
Selepas mencetuskan kontroversi atas penganjuran pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di UM, Fahmi sering menerima tekanan kerajaan.
Pada Ahad lalu, beliau bersama 8 rakannya yang lain ditahan sebanyak dua kali oleh polis di Sabah tanpa diberi alasan kukuh.
Semalam, Fahmi mengesahkan menerima surat penarikan biasiswa daripada JPA dan diberikan masa selama seminggu untuk menyerahkan surat tunjuk sebab.
Mengulas mengenai perkara itu Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli (gambar) menyatakan JPA sebagai badan biasiswa tidak sepatutnya digunakan sebagai senjata menyekat kebebasan akademik pelajar. Selain itu beliau berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan memberikan biasiswa kepada mahasiswa yang memenuhi kriteria.
Tambahan pula katanya, biasiswa tersebut adalah duit rakyat dan ia msatu lagi alasan ketidakwajaran menarik penajaan pendidikan Fahmi.
"Inilah kebiasaannya apabila perjanjian ditulis untuk biasiswa dibuat secara umum di mana ia di salah guna untuk menekan pelajar sedangkan sepatutnya apabila diberikan biasiswa, perjanjian tersebut tidak digunakan untuk mengikat atau memenjarakan pemikiran mereka.
"Sekarang ini badan biasiswa menggunakan klausa dan terma menakutkan mahasiswa," katanya.
Beliau berkata, taktik itu adalah kaedah yang sering digunakan BN tetapi tidak pernah berkesan untuk melunturkan semangat perjuangan aktivisme mahasiswa.
"Ugutan tersebut tidak pernah berkesan. Saya sendiri pemegang biasiwa Petronas dan perkara begini mengugut pelajar dengan penarikan mahasiswa memang berlaku sejak dulu.
"Namun, sekatan itu saya lihat tidak sedikit pun menjejaskan semangat mahasiswa," katanya. themalaysianinsider