Mungkin hanya segelintir yang mengenali nama Tengku Muhammad Azwan Shah, tetapi jika disebut Wak Doyok, pencinta dan pereka fesyen pasti mengenalinya.
Bukan setakat di Malaysia, malah Singapura, Indonesia, Jepun termasuklah pencinta fesyen Mods (The Modern Stylish) di Eropah turut mengenalinya. Wak Doyok, bukan artis popular sebaliknya penampilan pemuda ini yang berbeza berbanding kebanyakan gaya lelaki pada hari ini.
Bermisai dan berjanggut tebal, gaya jejaka berusia 33 itu sarat aura maskulin era Inggeris 60-an. Kurang lebih satu jam menemubualnya, saya sifatkan pemuda ini seorang yang berfalsafah apabila bercakap mengenai fesyen yang digayakannya. Fesyen Mods bagi Wak Doyok tidak dilihat sebagai helaian fabrik atau rekaan semata-mata, sebaliknya dia memahami falsafah Mods secara menyeluruh, iaitu kaitan Mods dengan Vespa dan Lambretta termasuk kecenderungan muzik yang berasal dari era 60an seperti ska, soul dan motown, yang menjadi pilihan pengamal Mods.
Antaranya kumpulan yang berkait rapat dengan Mods ini antaranya The Who, OCS, The Ronnettes dan The Supremes. Sedikit pencerahan daripada Wak Doyok sendiri : Saya terbabit dalam bidang ini sejak 1996 lagi walau bagaimanapun saya bergerak secara ‘underground’. Saya mula menggemari fesyen sekitar 1992 di mana ketika itu saya meminati fesyen Skinhead. Kecenderungan saya itu menyebabkan seorang rakan saya yang baru pulang daripada Britain memberikan saya Mods Bible yang menceritakan mengenai fesyen yang lebih hebat daripada Skinhead.
Dalam misi memperbesarkan jenama The Garment pula, ramai rakan menggalakkan saya terbabit dalam bidang fesyen secara ‘mainstream’ berbanding secara ‘underground’ memandangkan permintaan yang tinggi daripada pengikut saya. The Garment sebelum dikenali di Malaysia, pengamal fesyen Mods di Britain, Jepun, Singapura dan pelbagai negara lagi sudah lama memakainya.
Cuma baru sekarang mendapat permintaan daripada penggemar fesyen tempatan. “Strategi pemasaran saya dengan mengeluarkan kemeja-T terlebih dulu dan selepas ini saya mempunyai perancangan lebih besar untuk mengeluarkan pakaian untuk lelaki pula. Selain itu, saya menawarkan khidmat sebagai penasihat fesyen buat selebriti dan orang ramai.
Antara selebriti yang sering bekerjasama dengan saya ialah Ameer Forteen, Pretty Ugly, Karl Shafek dan beberapa nama lagi. Saya suka melihat orang bergaya dan ingin membantu orang di luar sana yang ingin berfesyen. Saya melihat kerjaya ini sebagai satu bidang yang boleh membantu saya memberi sumbangan kepada komuniti khususnya mereka yang menghargai dan mengikuti perkembangan saya.
Jom kita lihat transformasi yang dialami oleh Wak Doyok melalui 16 imej bergambar di bawah
:
ADS HERE !!!