Mentaliti rakyat negara ini masih pada tahap kelas ketiga dalam memahami penguatkuasaan yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terutama berhubung isu cermin gelap dan nombor pendaftaran kenderaan.
Jurucakap jabatan itu berkata, walaupun orang ramai menganggap penguatkuasaan undang-undang terhadap dua aspek itu sebagai lapuk, namun mereka perlu tahu di sebalik ketegasan penguatkuasa JPJ menguatkuasakan peraturan tersebut.
Katanya, mengambil kira perkara itu, nombor plat kenderaan dan penguatkuasaan cermin gelap juga adalah medium bagi kawalan keselamatan.
Beliau memberi contoh, jika pemandu kenderaan bercermin gelap itu tidak memakai tali pinggang keledar atau menggunakan telefon bimbit ketika memandu, anggota penguatkuasa sukar untuk melaksanakan tindakan pencegahan terhadapnya, sedangkan kesalahan itu boleh menjadi punca kemalangan.
Begitu juga peraturan penggunaan cermin gelap, ia dibuat berdasarkan kepada input dan pandangan daripada beberapa agensi berkepentingan seperti polis, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Kementerian Pengangkutan dan beberapa agensi penguatkuasaan yang lain.
Mereka terlibat atas alasan membawa matlamat agensi masing-masing.
"Masihkah anda ingat kes Noor Suzaily Mukhtar yang dirogol dalam bas bercermin gelap. Semua ini telah diambil kira dalam mencapai keputusan yang relevan untuk kesejahteraan bersama,” katanya menerusi kenyataan dimuatnaik dalam laman sosial Facebook JPJ hari ini.
Kenyataan itu mengulas mengenai rungutan orang ramai yang kemudian menjadi bahan lawak apabila penguatkuasaan JPJ sejak 1 November lalu lebih tertumpu kepada bentuk dan ukuran nombor plat kenderaan dan cermin gelap.
Menurut jurucakap itu, keselamatan jalan raya adalah isu sejagat yang memerlukan perhatian dan tindakan secara bersepadu oleh semua rakyat negara ini.
Katanya, selaku agensi bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan, pihaknya memohon jasa baik dan kerjasama semua untuk bersatu padu menangani isu kemalangan serta kematian di atas jalan raya.
Mengenai persoalan orang ramai terhadap agensi itu kenapa tidak mendakwa penjual aksesori cermin gelap dan nombor plat, jurucakap itu menjelaskan, JPJ hanya sebuah jabatan penguatkuasa jalan raya dan kuasa yang diberikan termaktub bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, menerusi akta itu, secara umumnya JPJ berkuasa untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap pemandu, kenderaan dan jalan raya sahaja.
"Sebab itu JPJ tidak boleh mendakwa penjual aksesori cermin gelap dan nombor plat. Namun begitu, walaupun penguatkuasaan tidak boleh diambil ke atas kedai aksesori ini, JPJ tidak membiarkan sahaja.
"JPJ telah turun ke kedai menjual aksesori ini untuk menyebarkan garis panduan yang ditetapkan oleh undang-undang," katanya. - MalaysiaGazette