POKOK SENA - Sepanjang menjadi tok mudim, pengalaman ditumbuk kanak-kanak istimewa yang tidak mahu berkhatan adalah antara yang mencuit hati. Mohd Noor Ariffin, 54, dari Tanjung Musang berkata, hasil pujukan akhirnya kanak-kanak berkenaan mahu untuk dikhatankan.
Menurutnya, dia mula melakukan kerja berkenaan seawal usia 17 tahun sehingga kini. "Walaupun ramai sudah beralih arah ke teknik berkhatan moden, namun masih ada lagi ibu bapa yang menghantar anak untuk berkhatan secara tradisional. "Setiap kali musim cuti sekolah permintaan daripada ibu bapa masih lagi tinggi sehingga terpaksa ditolak," katanya yang lebih dikenali dengan nama Tok Mudim Jabi.
Mohd Noor berkata, sepanjang cuti sekolah dia akan mula mengkhatankan kanak-kanak seramai 30 hingga 40 orang dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi. “Bayaran dikenakan,RM50 setiap orang dan bagi mereka yang berpasangan pula hanya dikenakan RM90.
"Berbeza bagi mereka yang miskin dan anak yatim hanya dikenakan RM10,” katanya yang mewarisi pekerjaan itu daripada datuknya.
Ditanya mengenai peralatan digunakan, dia menjelaskan hanya tiga alat iaitu pengapit, penjangka dan pisau serta ubat untuk bantu penyembuhan. "Tiga minit sahaja masa diperuntukkan untuk proses berkhatan jika tidak menghadapi sebarang masalah," katanya. - Sinar Harian
ADS HERE !!!