KEMAMAN – “Saya berdoa agar berlaku keajaiban dan keduanya ditemui,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang dukacita dengan tragedi sepasang suami isteri hilang dihanyutkan arus, kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, detik sukar yang dilalui keluarga mangsa itu tidak akan dilalui sendirian kerana beliau akan membantu meringankan beban pihak (keluarga) yang kini menjaga enam anak pasangan berkenaan.
“Tragedi ini amat menyedihkan kerana kesemua anak mangsa masih kecil .. yang bongsu baru berusia empat bulan. Mereka semua terlalu kecil untuk menanggung keperitan ini.
“Insya-Allah saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat. Tragedi ini pengajaran yang perlu diambil dalam kendalikan bencana ini,” katanya ketika tinjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua bersama Panglima Medan Tentera Darat, Datuk Seri Zulkifle Kassim di Benteng Sungai Kemaman, petang semalam.
Operasi berkenaan turut dibantu tiga bot dari Briged Sukarelawan Nelayan Parlimen Kemaman yang dikendalikan anggota tentera, namun sehingga jam 6.30 petang semalam, pasangan itu masih belum dijumpai.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang kelmarin, mangsa yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, Norhayati Sulong, 37, dan suaminya, Suhaimi Awang, 37, yang merupakan pemilik kedai menjahit kusyen kenderaan hilang dibawa arus selepas bot penyelamat bomba yang dinaiki terbalik di Kampung Geliga Che Akob.
Kejadian itu berlaku semasa pasukan bomba melakukan operasi pindahkan lima mangsa banjir di kawasan itu temasuk kedua-dua mangsa ke pusat pemindahan.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba bot penyelamat itu terperangkap pada pusaran air menyebabkan ia terbalik dan kesemua lapan mangsa yang berada dalam bot itu melibatkan tiga daripadanya pegawai dan anggota bomba tercampak ke dalam air lantas mengakibatkan pasangan itu yang memakai jaket keselamatan masuk ke dalam pembetung dan menghilang.
'Insan sebaiknya sukar dicari'
Sementara itu, sahabat Suhaimi, Ahmad Shukran Mohamad, berkata, 49, tragedi itu amat meruntun hatinya kerana mangsa yang dikenali sejak 12 tahun lalu dan memiliki kedai kusyen di Jalan Dato’, Chukai itu sudah dianggap seperti adik sendiri.
“Saya dan isteri, Isma Ismail, 44, amat rapat dengan mangsa kerana dia tukang jahit kusyen van sekolah kami. Bukan sahaja van kami, malah kusyen bas sekolah pengusaha lain juga dijahitnya kerana harga yang dikenakan sangat murah.
“Kali terakhir saya jumpa dengannya November lalu kerana saya mahu jahit kusyen sekali lagi. Dia setuju untuk jahit dengan harga cuma RM800 berbanding harga di kedai lain RM1,500. Dia sangat baik hati dan insan sepertinya sukar dicari,” katanya.
Dalam pada itu, kesemua anak mangsa ketika ini berada di bawah jagaan keluarga pasangan itu di Taman Geliga Intan dan keluarga mangsa masih belum sedia untuk ditemu bual media kerana masih trauma dan terkejut dengan tragedi yang menimpa pasangan malang itu.
Bomba teruskan operasi
Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu pula memaklumkan pihaknya akan meneruskan operasi mencari mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, operasi mencari dua mangsa itu disertai 15 anggota bomba, pasukan skuba dan 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hari ini (semalam) kita masih teruskan pencarian dua mangsa itu dan lokasi tertumpu di kawasan mangsa hanyut, di pesisir sungai dan kawasan berhampiran kerana kita jangka, mungkin mangsa berpaut pada sesuatu daripada hanyut.
“Jika usaha mencari tidak berhasil, kita akan luaskan pencarian hingga ke laut kerana khuatir mangsa dihanyutkan hingga ke laut. Sebab itu kita perlukan khidmat unit udara untuk mengesan mangsa dari atas,” katanya pada sidang media khas banjir di pejabat MKN, di sini, semalam.
Katanya, pihaknya akan cuba memohon bantuan daripada unit udara di pangkalan Udara Bertam jika masih gagal mengesan mangsa.
Beliau berkata, dalam kejadian kelmarin, pihak bomba terima laporan jam 1.18 petang mengenai lima mangsa banjir yang perlu dipindahkan ke pusat pemindahan.
“Ketika kejadian, terdapat lima mangsa banjir iaitu dua lelaki dan tiga perempuan untuk dipindahkan ke pusat pemindahan serta dibawa tiga anggota bomba menaiki bot kira-kira jam 1.30 petang.
“Apabila tiba di satu kawasan berdekatan tali air, terdapat satu pusaran air menyebabkan bot hilang kawalan dan terbalik. Pada masa sama, anggota kita turut hanyut bersama mangsa. Tiga orang berjaya diselamatkan, malangnya dua lagi gagal akibat dihanyut arus deras,” katanya.
Lebih muatan bukan punca
Dalam pada itu, Khairul Ariffin menyangkal dakwaan bahawa dua mangsa berkenaan tidak memakai jaket keselamatan serta punca kejadian disebabkan lebihan muatan.
“Kedua-dua mangsa memang memakai jaket keselamatan ketika kejadian dan kita jangka jaket itu mampu bertahan hingga tiga hari.
“Mengenai faktor lebihan muatan pula, ia tidak berlaku kerana bot itu mampu tampung sehingga 10 orang dalam satu masa. Punca kejadian berlaku disebabkan pusaran air yang begitu deras di bahagian bawah air dan ia berlaku di luar jangkaan,” katanya.
Khairul Ariffin berkata, pihaknya akan tambah sebuah lagi bot dari Dungun untuk bantu cari mangsa memandangkan banyak pengangkutan keselamatan tertumpu untuk memindahkan 100 mangsa banjir.
SINAR HARIAN