KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu seluruh rakyat supaya menjadikan alam sekitar sebagai sahabat baik kerana musibah banjir yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait daripada perbuatan manusia.
Titah baginda, rakyat perlu bermuhasabah dengan apa yang dilakukan selama ini dan perlu memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan.
"Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar dan marilah kita sedar bahawa segala macam musibah bencana dan malapetaka yang terjadi semua itu akibat daripada olahan tangan-tangan kita.
"Semoga ALLAH mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak," titah baginda dalam teks yang diedarkan kepada media di sini, hari ini.
Baginda juga mahu rakyat agar tidak menyebarkan berita yang boleh menambahkan kekeruhan terhadap musibah yang berlaku itu.
"Janganlah ada dalam kalangan ahli masyarakat yang tidak sensitif dan ingin menangguk di air keruh dengan menyebarkan berita-berita yang boleh menambahkan kekeruhan dan kekusutan," titah baginda.
Titah baginda ujian yang dialami ketika ini bukan masanya untuk saling menyalahkan sesama sendiri.
Baginda turut mengucapkan takziah kepada rakyat Kelantan yang terjejas banjir dan berharap mereka menerima ketentuan ALLAH itu dengan penuh berlapang dada.
"Banjir yang berlaku ini adalah sebahagian daripada qada dan qadar ALLAH. Hal ini harus diyakini dan diimani," titah baginda. - Bernama
ADS HERE !!!