Kuala Terengganu: Kegembiraan seorang pelajar tingkatan dua khatam al-Quran kelmarin tidak berpanjangan apabila dia meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian di Kampung Kesom Che Nordin, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu Mangsa Nurrashidah Baharuddin, 14, tergelincir ke dalam sungai ketika berjalan bersama kakak dan adik lelakinya di alur sungai di kampung terbabit.
Mangsa yang cuba diselamatkan dua saudara kandungnya namun gagal selepas kedua-duanya juga hampir lemas di dalam alur sungai sedalam tiga meter itu.
Menurut bapa mangsa, Baharuddin Abdullah, 40, anak keduanya itu ditemui kira-kira 12.40 tengah hari oleh orang kampung dan anggota bomba yang tiba tidak lama selepas kejadian berlaku.
Katanya, ketika kejadian, dia berada di rumah dan bergegas ke sungai terbabit selepas dimaklumkan penduduk kampung mengenai kejadian malang itu
"Saya cari anak di sekitar sungai tapi tak jumpa dan lebih sejam kemudian barulah dia ditemui di dasar sungai.
"Sebak hati melihat keadaan anak terbujur kaku dan pucat diangkat anggota bomba yang menjalankan operasi dan menyelamat ketika itu.
"Semalam saya cukup gembira kerana dia berjaya menamatkan pengajian al-Quran namun hari ini kegembiran itu lenyap," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya, petang tadi.
Sementara itu, Ketua Operasi Penolong Bomba Kanan ll Syukri Zahari berkata, pihak menerima panggilan jam 10.52 pagi dan tiba di lokasi kejadian dengan 22 anggota dari Balai Bomba Kuala Berang, Hulu Terengganu termasuk polis dan Jabatan Pertahan Awam (JPAM).
"Mayat mangsa ditemui anggota bomba dan orang awam di dasar sungai kira-kira tiga meter dari lokasinya terjatuh sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
sumber - hmetro
ADS HERE !!!