Pusat tuisyen dan pusat pembelajaran yang mempunyai lebih daripada 100 murid akan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April.
China Press melaporkan, disebabkan kebanyakan pusat tuisyen tidak akan 'menyerap' GST maka cukai itu akan dialihkan kepada pelanggan sekali gus menyebabkan kenaikan bayaran untuk perkhidmatan tuisyen.
Walaupun bersifat institusi pendidikan, pusat tuisyen tetap dikenakan GST kerana berorientasikan keuntungan.
"GST hanya dikenakan ke atas pusat tuisyen berskala besar dengan pendapatan tahunan melebihi RM500,000. Secara lazimnya, pusat tuisyen yang mempunyai murid melebihi 100 orang adalah berada dalam kategori ini.
"Keadaan ini bermakna pusat tuisyen kecil dan tuisyen di rumah tidak akan terjejas. Ibu bapa yang ingin mengelak GST boleh menghantar anak mereka ke pusat tuisyen jenis ini," demikian lapor. China Press.
Namun begitu, seorang pengusaha pusat tuisyen francais dengan 28 cawangan yakin pelaksanaan GST tidak akan menyebabkan pelanggannya berkurangan.
"Jika sebuah pusat tuisyen boleh tumbuh menjadi berskala besar dan mendapat langganan ramai, keadaan itu sendiri merupakan bukti kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.
Jelasnya, pemerhatian mendapati yuran tuisyen untuk murid sekolah rendah adalah antara RM50 hingga RM80 sebulan untuk semua subjek.
Yuran tuisyen untuk pelajar sekolah menengah pula mungkin mencecah RM150 sebulan untuk satu-satu mata pelajaran.
ADS HERE !!!