Itu keluhan seorang bapa, Naharuddin Hanif yang kesal apabila pihak sekolah memaksa anak-anaknya membeli pakaian sukan untuk mewakili sekolah di peringkat daerah.
“Saya tak faham kenapa pihak sekolah tidak menyediakan pakaian untuk pelajar atau atlet yang mewakili sekolah sedangkan itu adalah tanggungjawab sekolah. Murid yang mewakili sekolah pun bukannya ramai tetapi pihak sekolah tetap memaksa murid-murid ini minta duit dengan ibu bapa supaya membayar baju yang disediakan.
“Logik akal, murid-murid ini terpilih mewakili sekolah untuk bertanding di peringkat daerah dan sepatutnya semua kelengkapan ini telah disediakan oleh pihak sekolah dari awal lagi tanpa menyusahkan ibu bapa,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Sungai Serai di sini hari ini.
Bahagian belakang baju murid yang dipaksa beli oleh pihak sekolah bagi mewakili acara sukan olahraga peringkat daerah Hulu Langat.
Ujarnya, cara pihak sekolah mentadbir murid disifatkan sebagai menyusahkan dan langsung tidak beretika.
“Lebih teruk lagi, pihak sekolah meminta murid membeli sendiri kasut untuk acara larian yang harganya tidak kurang daripada RM150 sepasang. Ini semua hanya untuk menyenangkan pihak sekolah tanpa perlu keluar duit melainkan menggunakan kenderaan guru untuk ke lokasi pertandingan.
“Salahkah jika pihak sekolah beli kasut untuk acara larian atau peralatan lain dan guna bila perlu seperti yang berlaku pada anak saya hari ini,” tegasnya.
Katanya lagi, pada tahun lalu, kumpulan koir sekolah anaknya itu terpilih untuk ke pertandingan akhir peringkat sekolah rendah bagi daerah Hulu Langat. Apa yang menyedihkan, kumpulan yang terdiri daripada 15 murid itu juga diarahkan supaya membeli pakaian sendiri yang warnanya ditetapkan oleh pihak sekolah.
Bahagian depan baju yang dijual pada harga RM10 untuk dipakai sepanjang acara sukan berlangsung.
“Patut atau tidak ibu bapa yang sediakan pakaian untuk kumpulan koir sekolah sedangkan mereka ini mewakili sekolah? Kalau ikutkan rasa hati, memang saya tak benarkan anak saya ikut serta pertandingan koir tersebut tetapi sebab kasihankan anak, saya ikut kehendak sekolah.
“Apa yang dapat saya simpulkan, pihak sekolah sengaja mengumpan murid-muridnya untuk kepentingan sendiri yang pada masa sama menyusahkan ibubapa,” katanya.
Sehubungan itu kata Naharudin, pihak kementerian pelajaran disaran supaya menyiasat perkara ini dan seterusnya mengambil tindakan ke atas sekolah seperti ini.
“Saya tak tahu sama ada ini kes terpencil atau tidak tetapi apa yang dilakukan oleh pihak sekolah seperti ini amat dikesali lebih-lebih lagi bila murid dijadikan umpan untuk dapat duit," ujarnya.--MalaysiaGazette